‘Keibubapaan Siber’ Tema Sambutan Hari Keselamatan Internet 2018

3643

SERI KEMBANGAN, 8 FEBRUARI 2018 – Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia dengan sokongan dan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) meraikan sambutan Hari Keselamatan Internet 2018 atau Safer Internet Day (SID) 2018 – Edisi Malaysia. SID merupakan inisiatif InSAFE European Union (EU) Belgium dan disambut secara global oleh lebih 100 buah negara.

Sambutan SID diadakan pada bulan Februari setiap tahun bagi mempromosi keselamatan Internet, memupuk serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan Internet agar mereka menjadi lebih bertanggungjawab tatkala menggunakan teknologi serta aplikasi Internet melalui gajet-gajet digital.

Di Malaysia, SID mula disambut pada tahun 2010. Setiap kali sambutan SID, pelbagai program, aktiviti serta kempen keselamatan Internet bersesuaian dengan tema dan diadakan dengan kerjasama rakan pintar yang turut melestari agenda keselamatan Internet di Malaysia.

Pada tahun 2018, SID peringkat global disambut pada 6 Februari (Selasa) dengan tema “Create, connect and share respect: A better internet starts with you.” Berdasarkan tema ini, sambutan SID 2018 Edisi Malaysia ialah “Keibubapaan Siber – Keluarga Bingkas Siber Bermula Dengan Anda” (Cyber Parenting – Cyber Resilient Families Begin With You).

“Sebagai sebuah entiti yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal keselamatan siber negara, NACSA sangat komited dalam usaha memperkasa warga digital Malaysia agar menjadi lebih berilmu dan beretika apabila menggunakan Internet. SID 2018 merupakan salah satu inisiatif yang diselaraskan di bawah Program CyberSAFE, yang merupakan program dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysi dan amat bersesuaian untuk diraikan dalam meneruskan agenda keselamatan siber negara.” Kata Ir. Md Shah Nuri, Ketua Eksekutif, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Bagi melestari sambutan SID 2018 Edisi Malaysia, beberapa program dan inisiatif telah disusun, antaranya termasuk Kempen #DealWithIT  yang mahukan ibubapa atau penjaga berikrar untuk menjadi ibubapa siber yang bertanggungjawab dan program Kajian Impak Ancaman Kesihatan Siber Di Kalangan Remaja bagi mengkaji beban dan kesan ketagihan Internet ke atas kesihatan fizikal remaja dan kanak-kanak.

Selain itu turut diperkenalkan inisiatif Buku Panduan Keibubapaan Siber, Video Keibubapaan Siber serta Seminar ‘Keluarga Bingkas Siber Bermula Dengan Anda’ sebagai sebahagian dari inisiatif sambutan SID. Setiap inisiatif dilancarkan dengan harapan memberi informasi kepada ibubapa mengenai tatacara atau penjaga yang bijak mengasuh di alam siber.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata “ID merupakan acara tahunan kami sejak 2010. Ia adalah salah satu usaha menyebarluas pemahaman mengenai kepentingan keselamatan siber kepada pengguna Internet di Malaysia. Tema keibubapaan siber pada tahun ini dilihat amat bertepatan dengan usaha pelbagai pihak untuk memperkasa pengguna Internet terutama ibubapa, wanita dan kanak-kanak di alam siber. Kami bangga kerana sambutan kali ini mendapat sokongan padu serta kerjasama dari pelbagai pihak sama ada sektor awam mahupun swasta.”

Sambutan SID diraikan bagi memupuk serta meningkatkan kesedaran pengguna Internet, khususnya kanak-kanak dan remaja mengenai kepentingan penggunaan Internet secara beretika dan bertanggungjawab, memberi pendedahan kepada pengguna Internet mengenai tatacara serta kaedah penggunaan Internet secara berhema, membina budaya penggunaan Internet dan teknologi secara positif dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penggunaan Internet bersesuaian dengan slogan SID setiap kali penganjurannya.