Lihat dengan mata dan hati sebelum ‘Yes’ untuk projek seterusnya

2074

(Ditulis berdasarkan artikel Abdullah Halim Sulaiman, Penduduk Mukim Pelangai kepada The Rakyat Mirror)

Penduduk kawasan Pelangai, Bentong Pahang mahukan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga merupakan ADUN yang telah dipilih mereka untuk turun padang lihat sendiri kemusnahan alam sekitar yang telah berlaku akibat dari beberapa projek pembalakan di Mukim berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Antara yang perlu dilihat MB Pahang adalah keadaan sungai yang sudah hampir ‘mati’ serta kesannya juga terhadap sosio ekonomi penduduk yang disifatkan mereka penting diberi perhatian sebelum satu lagi projek pembalakan diberi laluan di kawasan mereka.

Melalui satu artikel yang dihantar seorang penduduk Pelangai ke meja The Rakyat Mirror , Abdullah Halim menggesa Datuk Seri Adnan Yaakob untuk menyelami keperitan yang ditanggung penduduk apabila sungai-sungai ini ‘dibunuh’ oleh projek pembalakan yang lalu.

gambar-surat-pelangai

Antaranya termasuk kesan langsung ke atas Sungai Semei yang menjadi sebahagian dari hidup penduduk perkampungan Pelangai kini seolah menunggu masa untuk ‘mati’ apabila air sungai berkenaan semakin kering akibat lumpur dari kawasan hutan yang sudah gondol.

“Sungai Semei yang sudah hampir terkambus dulunya memberi inspirasi kepada penduduk untuk mengusahakan kolam-kolam ikan untuk menjana pendapatan. Ada juga penduduk yang membangunkan kawasan kem rekreasi  menggunakan wang poket sendiri. Namun semua itu kini dalam keadaan sepi kerana sungai yang memberi inspirasi kepada anak muda untuk berdikari sudah hilang”

Namun penduduk dikatakan tetap bersabar.

Namun yang menggusarkan penduduk kini adalah kesan yang lebih besar bakal berlaku apabila satu lagi kawasan hutan yang terlaku hampir dengan sungai Semerting dan sungai Gapoi ia itu sumber air ke loji penapisan air Sg. Gapoi bakal diteroka atas nama Projek Ladang Rakyat.

Penduduk mempersoal kesahihan serta ketelusan projek-projek yang dijanjikan kepada penduduk apabila pembalakan dimulakan.

“Antaranya Projek Tanam Berkelompok Ulu Semei yang hingga sekarang masih belum nampak permulaanya walaupun kawasan hutan sudah digondolkan atas nama pembangunan projek rakyat sejak 2004 lagi. Begitu juga projek di Hutan Simpan Chemomoi, kawasan hutan beribu ekar menjadi padang jarak pedang terkukur selepas pokok balak licin ditebang, namun tidak nampak apa projek yang akan dilaksanakan” tambah Abdullah Halim lagi.

surat-pelangai

Dan mewakili penduduk Telemong, Sg. Gapoi dan Kampung Shafie,   Abdullah Halim mahukan satu kepastian dari pemimpin mereka sendiri akan pelbagai persoalan yang timbul akibat projek yang merobek hati rakyat ini.

Note: The Rakyat Mirror membuka ruang kepada pihak-pihak terbabit untuk memberikan kenyataan bertulis atau video melalui laman FB  @therakyatmirror atau email: [email protected]