PETRONAS Sumbang Peralatan Perubatan Dan Keperluan Asas

583

Alor Setar, 5 Oktober 2021 – Selaras dengan komitmen berterusan terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), PETRONAS terus komited dalam menyampaikan sumbangan pelbagai keperluan asas perubatan dan peralatan asas yang diperlukan dalam memastikan program imunisasi tersebut dapat berjalan dengan lebih lancar, selamat, teratur dan berkesan.

Penyampaian secara simbolik disampaikan oleh Ketua Petronas Wilayah Tengah dan Utara, Zukifli Othman pada majlis ringkas kepada Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar Bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan Dr. Othman Warijo, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah yang berlangsung di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di Alor Setar.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim berkata sumbangan sebegini amat bermakna dan mampu memberi impak positif dalam memastikan negeri Kedah mencapai imuniti kelompok pada kadar segera.

“Sumbangan pelbagai keperluan asas perubatan dan peralatan am yang disalurkan antaranya adalah katil pesakit, peralatan perubatan Oxymeter, komputer riba, tablet, pendingin udara, troli dan meja mudah alih.

“Kerajaan Negeri Kedah amat berterima kasih akan keprihatinan dari pihak PETRONAS dalam membantu kerajaan negeri Kedah dalam proses vaksinasi bagi membendung penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Beliau berkata secara ringkas dalam sesi penyampaian sumbangan secara simbolik oleh Ketua PETRONAS Wilayah Utara dan Tengah, Zukifli Othman di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo dan Pengurus Perhubungan Kerajaan PETRONAS Wilayah Utara dan Tengah, Hazly Azrin Hamzah.

Dalam perkembangan yang sama, Zukifli turut memaklumkan sebagai syarikat korporat, PETRONAS amat prihatin akan keadaan semasa yang melanda negara khususnya di negeri Kedah.

“Sehubungan itu, pihak PETRONAS menyokong segala usaha Kerajaan Negeri dalam membantu proses vaksinasi di negeri Kedah malah sentiasa mencari inisiatif yang terbaik dalam membantu negara mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera,” ujarnya.