UITM Dan Cybersecurity Malaysia Meterai Memorandum Perjanjian Bagi Menggalakkan Pembangunan Bidang Keselamatan Siber

437

Shah Alam, 9 November 2021 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM) dan CyberSecurity Malaysia hari ini memeterai memorandum perjanjian (MoA). Majlis diadakan secara maya di mana UiTM diwakili oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, sementara CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin bin Abdul Wahab FASc.

MoA ini ditandatangani memandangkan pihak UiTM sentiasa peka dalam mengenal pasti kepentingan perkongsian pintar bersama institusi luar yang bertujuan untuk menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang demi manfaat kedua-dua pihak. Ini selaras dengan hala tuju dalam Pelan Strategik UiTM2025 iaitu “global branding and smart partnership” ke arah menjadikan UiTM “globally renowned university” menjelang tahun 2025.

Kerjasama ini juga seiring dengan education 5.0 serta keperluan industri yang secara langsung akan meningkatkan kebolehpasaran graduan. Pada masa yang sama, UiTM yakin bahawa melalui kerjasama seperti ini, pemindahan ilmu dan usahasama latihan kemahiran yang berterusan akan dapat melahirkan graduan profesional yang berpengetahuan luas dan cemerlang yang akhirnya mampu menyumbang kepada pembangunan dirinya, masyarakat dan negara. Dalam era dunia tanpa sempadan ini, jalinan kerjasama universiti dengan industri merupakan satu elemen penting bagi memastikan kejayaan dan kelestarian sesebuah organisasi.

Antara bidang yang dikenalpasti melibatkan kepakaran serta keupayaan CyberSecurity Malaysia melalui kerjasama strategik ini adalah:

  • pembangunan modal insan yang akan berupaya mengendalikan penyelidikan keselamatan siber dan penilaian privasi bagi melahirkan gradúan sebagai tenaga pakar berpengetahuan dan berkemahiran di dalam keselamatan maklumat dan perlindungan data peribadi melibatkan tiga (3) domain utama keselamatan maklumat iaitu produk, proses dan kompetensi;
  • Membantu organisasi untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan terhadap ancaman keselamatan maklumat melalui penilaian sistematik berdasarkan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik;
  • Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat atau ISMS yang menitikberatkan kesedaran dan latihan yang berterusan, di mana ia berupaya meningkatkan moral dan komitmen kakitangan dalam melindungi maklumat penting organisasi selain mewujud, melaksana, mengoperasi, memantau, menilai semula, menyelenggara dan menambah baik kualiti sistem maklumat;
  • Pengurusan Sistem Kesinambungan Perkhidmatan (Business Continuity Management System – BCMS) berasaskan pendekatan analisis impak kepada organisasi apabila berlakunya bencana, di mana organisasi berupaya untuk terus beroperasi dengan sokongan teknologi dan kepakaran;

Umumnya, kerjasama strategik yang dijalinkan ini mengkhususkan kepada peningkatan kemahiran, pengetahuan dan perkembangan intelektual pelajar di era digital dalam bidang sains maklumat. Secara khususnya, CyberSecurity Malaysia dan Universiti Teknologi Mara melalui Fakulti Pengurusan Maklumat akan berkoloborasi di dalam “Training & Assessment Program” yang telah dipersetujui secara bersama dan mewujudkan hubungan dua hala berasaskan teknologi sains maklumat.

Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM adalah fakulti perintis di Malaysia yang menyediakan pendidikan profesional dalam jurusan pengurusan maklumat. Sejajar dengan perkembangan teknologi terkini, UiTM sentiasa memperkukuhkan kemahiran pelajar bagi memenuhi “future job skills demand” seperti dinyatakan dalam World Economic Forum 2030.  Kerjasama yang bakal berlangsung diantara kedua dua pihak ini akan memastikan aspek penyampaian perkhidmatan meningkat ke tahap yang lebih tinggi melalui proses penambahbaikan berterusan dengan menumpukan kepada peningkatan kepakaran modal insan. Kedua-dua pihak ini diharap mampu untuk bekerjasama dengan erat dan memperhebatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan di dalam bidang Sains Maklumat.