Tulus Menyediakan Platform Pembayaran Zakat bagi 11 Negeri Bagi Ramadan 1443H

62

Kuala Lumpur, 4 April 2022– Tulus Digital, perintis kepada platform Kewangan Sosial Islam digital menyediakan pada bulan Ramadan ini perkhidmatan atas talian bagi pelbagai urusan amal jariah merangkumi zakat, wakaf, infaq dan sedekah. Segala urusan pembayaran zakat boleh disempurnakan pembayarannya melalui kaedah secara digital dengan begitu mudah dan selamat, hanya di hujung jari.

Fasa peralihan endemik untuk negara membolehkan rakyat kembali kepada permulaan kehidupan normal selepas bergelut dengan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu. Namun begitu ketersediaan perkhidmatan aplikasi Tulus sejak dua tahun yang lepas membolehkan kemudahan pembayaran secara digital kepada pengguna tanpa mengira masa dan lokasi mereka dengan menggabungkan semua organisasi Islamik yang merangkumi perkhidmatan pembayaran zakat, wakaf, infaq dan sedekah.

Aplikasi ini membuka ruang dan kemudahan kepada masyarakat Islam untuk melaksanakan pelbagai urusan pembayaran berkaitan amal jariah dengan lebih mudah dan telus. Tulus menyediakan fasiliti pembayaran beretika melalui aplikasi mudah telefon pintar Tulus bagi memperkasa pembangunan ekonomi dan kesejahteraan ummah merangkumi gaya hidup digital kepada rakyat Malaysia.

Menurut Pengerusi Eksekutif Tulus Digital, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, “selaras dengan visi pendigitalan sektor kewangan khususnya kewangan sosial Islam, Tulus menyediakan inovasi teknologi yang dipandu Maqasid Al-shariah dengan ketersediaan  sebuah platform pembayaran beretika yang telus serta mematuhi asas syariah untuk memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk melaksanakan pembayaran pelbagai urusan berkaitan amal jariah dengan mudah dan selamat.”

“Bagi Ramadan pada kali ini, aplikasi Tulus turut menyediakan saluran pembayaran zakat bagi 11 negeri di Malaysia yang merangkumi Wilayah Persekutuan dan WP Labuan, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Perak serta Perlis dan menyasarkan 950,000 pembayar zakat pada Ramadan tahun ini” katanya.

Aplikasi mudah alih Tulus boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple iOS Store. Selain itu, bayaran zakat ke setiap negeri juga boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang https://tulus.app

Bertemakan “Nak Zakat, Wakaf, Infaq dan Sedekah Online? #TulusJerLah!”, Tulus Digital mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam bersama-sama menggunakan aplikasi ini sebagai salah satu cara untuk membuat sumbangan dan pembayaran zakat secara digital serta amal kebajikan di alam maya.