Datuk Norliza Abdul Rahim Dilantik Sebagai Pengerusi Baharu UDA

173

Kuala Lumpur, 11 November 2021 – UDA Holdings Berhad (UDA), mengumumkan pelantikan Datuk Norliza Abdul Rahim sebagai Pengerusi UDA berkuatkuasa pada 8 November 2021. Beliau dilantik menjadi Pengerusi baharu menggantikan mantan Pengerusi Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menggalas jawatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada Ogos tahun ini.

Datuk Norliza yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan), Ijazah Sarjana Muda Perancangan Kewangan Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan (Perakaunan) mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah, pengurusan harta dan dasar perumahan awam merangkumi sektor kerajaan serta swasta.

Beliau menyelia pelaksanaan lebih 25,000 unit perumahan awam, unit kediaman dan komersial semasa perkhidmatan beliau di Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta di Prime View Sdn Bhd, sebuah syarikat hartanah swasta.

Datuk Norliza juga mempunyai pengalaman luas dalam menerajui beberapa syarikat milik kerajaan dan swasta yg tersenarai di bursa merangkumi bidang hartanah, perkapalan dan juga universiti awam dan koperasi. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dari tahun 2011 hingga 2017.

“Saya akan bersama-sama barisan pimpinan UDA untuk menyambung legasi kecemerlangan UDA dan kekal utuh sebagai peneraju pembangunan bandar dalam masa yang sama terus memperkasa keluarga usahawan. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana mengiktiraf Wanita, terima kasih juga pada Menteri Kewangan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas kepercayaan untuk menerajui kepimpinan UDA,” kata beliau.

Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA bagi pihak Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan, serta seluruh warga kerja UDA mengalu-alukan pelantikan Datuk Norliza dalam menerajui kepimpinan syarikat. Semoga pucuk pimpinan beliau menjadi aspirasi bagi UDA meneruskan kegemilangan untuk 50 tahun akan datang.