AHLI PARLIMEN PERLU FAHAM DAN SELAMI TITAH KDYMM AGONG SULTAN IBRAHIM UNTUK MALAYSIA YANG LEBIH BAIK

302
Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim

Johor, 29 Februari 2024- Angkatan Setia India Johor (AISJ) menjunjung setinggi-tinggi kasih terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim di atas titah Baginda bersempena Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas pada 26 Februari lalu .

Kami dari AISJ yang merupakan rakyat dibawah naungan KDYMM selama ini di Negeri Johor, amat berbesar hati kerana Seri Paduka Baginda meneruskan legasinya untuk melihat perpaduan antara rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum di negara ini terus utuh, dijaga dan dititikberatkan .

Sifat Seri Paduka Baginda yang mahukan rakyat sentiasa bersatu padu bukanlah sesuatu yang asing bagi Rakyat Malaysia, kerana sepanjang memayungi rakyat di Johor, Seri Paduka Baginda adalah individu yang peka dalam memastikan kebajikan rakyat terus dibela menerusi semangat muafakat .

Dengan gaya kepimpinan yang tegas serta mesra rakyat, kami Rakyat Johor yakin konsep hidup bermuafakat ini akan terus disemarakkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke seluruh pelusuk negara .

Sudah pasti rakyat kini boleh berlapang dada kerana Seri Paduka Baginda adalah seorang Raja yang boleh rakyat harapkan untuk menerajui negara ketika ramai pemimpin politik semakin tersasar keluar dari landasan yang sepatutnya mengutamakan perpaduan rakyat berbilang kaum, bangsa dan lapisan etnik di negara kita ini.

Justeru, adalah diharapkan setiap Ahli Parlimen tidak kira dari blok Kerajaan mahupun Pembangkang untuk mengambil iktibar daripada setiap patah perkataan titah Seri Paduka Baginda itu .

Seperti titah Seri Paduka Baginda, kini adalah masanya untuk setiap wakil rakyat di Parlimen menjaga kawasan masing-masing serta meletakkan kepentingan negara lebih tinggi daripada kepentingan diri serta ideologi politik sendiri.

Terimalah teguran serta titah nasihat KDYMM Seri Paduka Baginda itu dengan hati yang terbuka serta tingkatkan mutu perkhidmatan masing-masing sebagai penggubal undang-undang yang lebih dihormati dan disegani oleh seluruh Rakyat Malaysia .

Janganlah asyik berpolitik ataupun cepat melatah hingga sanggup bertindak di luar adab orang Malaysia dengan mengeluarkan kenyataan terbuka yang menderhaka terhadap titah Seri Paduka Baginda dan seolah-olah seperti mahu mengajar Seri Paduka Baginda mengenai apa itu Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai wakil rakyat yang rasional,  janganlah hanya ambil titah Seri Paduka Baginda dari sudut perspektif demi agenda politik semata-semata .

Atas kesedaran itu, AISJ menyeru dan mengajak seluruh Rakyat Malaysia agar junjung serta fahamilah maksud dan intipati titah Baginda itu secara keseluruhannya, bukannya diambil dan dipotong ikut sesuka hati sendiri sahaja .

Kami orang Johor sangat mengenai Sultan kami. Seri Paduka Baginda telah lama memupuk dan mengajar kami supaya hidup sebagai Bangsa Johor, tidak kiralah latar belakang bangsa dan kepercayaan agama yang berbeza ianya tidak menjadi penghalang untuk kami semua hidup bermuafakat. 

Kerana Seri Paduka Baginda percaya dan kami juga percaya bahawa muafakat itu berkat, ibarat pepatah melayu bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Kita semua perlu akur bahawasanya negara ini ditubuhkan hasil titisan  darah dan perjuangan nenek-moyang kita dahulu, janganlah hancur dan memusnahkannya!