Penganugerahan Castrol Unsung Heroes pada Hari Mekanik Malaysia

1021

Kuala Lumpur, 29 September 2020 – Seramai 20 mekanik Malaysia telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Castrol Unsung Heroes sempena kempen Hari Mekanik Malaysia yang dianjurkan oleh Castrol. Kempen tersebut merupakan salah satu inisiatif untuk memberi penghargaan kepada mereka yang pakar dalam bidang penyelenggaraan automotif.

Para penerima anugerah yang kebanyakannya berasal daripada Selangor, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Sabah merupakan antara mekanik yang dipilih melalui tiga segmen iaitu kereta, trak dan juga motosikal. Pemberian anugerah tersebut dijangka untuk berlangsung pada 18 Mac 2020 di majlis penganugerahan Hari Mekanik Malaysia.

Walau bagaimanapun, majlis yang sepatutnya diadakan di Subang Jaya tersebut telah dibatalkan memandangkan keadaan semasa yang melibatkan wabak COVID-19 dan juga usaha daripada pihak Castrol dalam mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak-pihak berkuasa.

Ketiga-tiga juara bertahan pertandingan Castrol Super Mechanic Contest 2018 Malaysia  dan peringkat Asia Pasifik juga telah dinobatkan sebagai pemenang kategori kereta dan trak. Mereka terdiri daripada Low Pai Khoon yang berasal dari Pulau Pinang, Tan Yong Jun dari Perak dan Yim Shao Ze dari Perlis. Seramai 20 Unsung Heroes akan dihadiahkan dengan sijil, trofi Hari Mekanik Malaysia dan juga barangan eksklusif sumbangan Castrol. 10 para pemenang  kategori kereta dan trak juga akan diberikan kursus latihan automotif untuk mengasah lagi kepakaran mereka dalam industri tersebut.

“Kami mengambil peluang yang amat berharga ini untuk meraikan para mekanik Malaysia, akan tetapi keselamatan warga awam juga merupakan keutamaan kami. Kempen ini bertujuan untuk memberi penghargaan dan juga membakar semangat para mekanik yang menceburi bidang automotif. Kami berharap untuk menyediakan lebih banyak lagi platform yang bertujuan untuk meraikan komuniti tersebut pada masa hadapan”, kata Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia dan Singapura, Keow Mei-Shan.

Kempen Hari Mekanik Malaysia telah dilancarkan pada November tahun lepas dan dijadualkan untuk berlangsung sehingga September 2020. Kempen tersebut merangkumi pelbagai acara untuk memupuk kesedaran awam dan meraikan para mekanik seluruh Malaysia atas sumbangan yang telah diberikan selama ini.

Untuk maklumat lanjut tentang Castrol dan produknya, layari www.castrol.com/my