YAYASAN PETRONAS Hulur Bantuan Kepada 300 Keluarga B40 Yang Terjejas Akibat Penularan COVID-19

1131

Alor Setar, 23 Ogos 2020 – PETRONAS, menerusi cabang tanggungjawab sosial korporat Yayasan PETRONAS, telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada 300 buah keluarga daripada golongan berpendapatan B40 yang terjejas akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) di sekitar negeri Kedah, susulan peningkatan jumlah penularan kes COVID-19 yang dikesan di beberapa daerah di negeri itu ketika ini.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut berlangsung di Wisma Darul Aman pada hari ini, dan dihadiri Menteri Besar Kedah, Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengurus Kanan PETRONAS Wilayah Tengah dan Utara Encik Zulkifli Othman yang mewakili Yayasan PETRONAS. Sumbangan berupa barangan keperluan harian ini akan disalurkan kepada keluarga-keluarga berkenaan menerusi menerusi Exco Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan, Puan Halimaton Shaadiah Saad.

Zulkifli berkata: “Yayasan PETRONAS turut bersimpati dengan situasi yang dihadapi sebilangan warga negeri Kedah yang menempuh kesukaran untuk meneruskan aktiviti harian akibat TEMCO yang dikuatkuasakan untuk membendung penularan COVID-19. Jadi, kami berharap sumbangan yang dihulurkan ini dapat meringankan beban mereka, terutamanya mereka yang terjejas pendapatan kerana tidak dapat keluar bekerja.

Tambahnya lagi, sumbangan yang dihulurkan Yayasan PETRONAS ini akan dikelolakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mengenal pasti keluarga daripada golongan B40 yang terkesan dengan penguatkuasaan TEMCO ini. Sumbangan barangan keperluan harian bernilai RM100 bagi setiap keluarga ini akan melibatkan Mukim Ah, Hosba dan Binjai di daerah Kubang Pasu serta Kampung Ulu Padang Senai di daerah Padang Terap.

Antara barangan keperluan asas yang akan dihulurkan adalah beras, minyak, telur, makanan dalam tin seperti sardin, krimer, gula dan biskut.

Antara barangan keperluan asas sumbangan Yayasan PETRONAS bagi 300 buah keluarga golongan B40 yang terjejas akibat TEMCO di Kedah.

Yayasan PETRONAS menyakini tentang kepentingan untuk memastikan kesejahteraan semua sejajar dengan komitmen PETRONAS dalam menyokong Sasaran Pembangunan Mampan (SDGs) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban bagi keluarga dari golongan B40 yang terjejas akibat pandemic COVID-19.